Followers

Wednesday, June 26, 2013

Jadi 'Kecil' Untuk Dapatkan Yang 'Besar'


Kecil jangan disangka kerdil,besar jangan disangka gempar. Walaupun mata kasar melihat kecil itu kecil,tapi ia Nampak besar bila dilihat melalui set mikroskop. Dan walaupun yang besar itu zahirnya dilihat besar namun ia kelihatan kecil bila dilihat dari kejauhan. Begitu juga dalam kehidupan kita,saiz sebenar sesuatu perkara itu tidak mencukupi andai melihatnya melalui mata-mata sahaja melainkan bersamanya pandangan hati yang tidak bermata.

Jiwa manusia tidak pernah lekang daripada mendambakan sesuatu yang ‘besar’. Kerana yang ‘besar’ itu sahajalah yang boleh menyuap nafsu yang bergetar. Besar yang dimaksudkan bukan sekadar saiznya,bahkan besar yang dimaksudkan melingkupi semua perkara.

Antaranya,kita ingin sekali melamar wanita yang cantiknya bukan kepalang ataupun kerana solehahnya yang manis dipandang,maka itu termasuk dalam perkara yang ‘besar’. Ataupun kita bercita-cita untuk menjadi pakar rujuk ataupun faqih dalam sesuatu bidang ilmu,maka itu juga termasuk dalam perkara yang ‘besar’. Ataupun kita juga bercita-cita ingin menjadi OKK(orang kaya-kaya),maka itu juga termasuk dalam perkara yang ‘besar’.

Secara logik akalnya,untuk menggapai semua benda ‘besar’ ini,kita perlu jadi ‘besar’ terlebih dahulu agar bertemu buku dengan ruas. Namun,persepsi ini kurang tepat kerana seharusnya kita perlu jadi ‘kecil’ untuk dapatkan yang ‘besar’.


Contohnya seperti yang telah diberikan di atas iaitu jika kita mengkehendaki melamar wanita yang termasuk dalam kategori ‘besar’ itu,kita perlu kecilkan ketinggian kita dengan merendahkan lutut kita ke tanah sambil menghulurkan sebentuk cincin sambil katakan ‘sudikah awak menjadi isteri saya’ seperti mana yang dilakukan oleh mana-mana hero drama-drama petang.  Ataupun kecilkan ketinggian dengan merendahkan lutut kepada sang wali agar pernikahan ini betul-betul direstui. Jadi,jika kita ingin dapatkan yang ‘besar’ itu kita perlu menjadi ‘kecil’ seketika.

Ataupun,kita punya cita-cita ‘besar’ untuk menjadi pakar rujuk,ataupun faqih dalam sesuatu bidang ilmu,maka kita perlu jadi ‘kecil’ dengan bertawaddhuk dalam menuntut ilmu. Kita ‘kecil’kan diri kita di hadapan guru,menjaga adab-adab di hadapan mereka dan berlemah lembut kepada mereka. Kerana prinsip ilmu itu ibarat resmi padi,semakin berisi semakin tunduk. Sebab itulah Allah utuskan Nabi Khidir kepada nabi Musa supaya mengingatkan Nabi Musa bahawa prinsip ilmu itu terjejas jika kita mem’besar’kan diri kita dalam menuntut ilmu. Jadi,bukankah semakin ‘kecil’ kita,semakin ‘besar’ benda yang kita dapat?

Dan mungkin juga kita bercita-cita ‘besar’ untuk menjadi OKK (orang kaya-kaya),kita perlu ‘kecil’kan diri kita dengan menyusah-nyusahkan diri terlebih dahulu dengan menundukkan muka untuk berhutang,berpenat-penat dalam berusaha. Semua itu rangka usaha untuk meng’kecil’kan diri. Sekali lagi,menjadi ‘kecil’ itu sangat perlu untuk mendapatkan sesuatu yang ‘besar’.


Maka dalam meng’kecil’kan diri kita,terdapat cara-cara tertentu agar kita sentiasa istiqomah dalam men’gecil’kan diri. Antaranya ialah;

1)      Sabar

-Ketika kita cuba untuk ‘mengecilkan’ diri,jalan yang dihadapi pastinya berliku-liku. Mehnah dan tribulasi seringkali menyinggahi. Maka andai tersesat ataupun terbabas itu merupakan perkara yang biasa. Jadi,sabar itulah ubatnya agar luka tidak bertambah parah.

2) Kurangkan bercakap

-dalam simpulan bahasa Melayu kita ada ‘Cakap besar’ tapi kita tidak ada ‘Cakap kecil’. Kerana ‘Cakap besar’ itu sering berlaku pada manusia. Untuk mengelakkan ‘Cakap besar’ berlaku,maka kurangkan bercakap itu lebih baik.
      
3)  Selalu ‘mengalah’

-Kita selalu ingin menang dalam mana-mana pertelingkahan kerana ego kita terlalu tinggi. Bila ego dah ‘besar’ mana mungkin kita dapat benda yang ‘besar’ lagi. Selalulah ‘kecil’kan keegoan dalam diri sendiri.

 4) Rajin berusaha

-rajin berusaha adalah satu cara untuk ‘mengecilkan’ diri kita dengan mengatasi segala  kemalasan dan bersusah payah menghadapi semua tugasan agar semuanya dibayar dengan sesuatu yang ‘besar’ suatu hari nanti. InsyaAllah.
      
  5) Sentiasa bermuhasabah

-kadangkala kita terlepas melakukan sesuatu yang di luar dugaan. Maka muhasabah itulah kuncinya. Duduklah dan bertafakkurlah seketika setiap hari. Adakah hari ini aku ada melakukan sesuatu yang mem’besar’kan diriku?


Khulasatul qaul,semua perkara ‘besar’ yang bakal menanti kita di hadapan sana,perlulah bermula dengan ’kecil’kan diri terlebih dahulu sama ada terpaksa bersusah-susah dahulu ataupun merendahkan diri dahulu. Hampir semuka penuh saya bercakap mengenai ‘kecil’ dan ‘besar’. Apa kata anda cuba aplikasikan sendiri perkara ini dalam hal menyembah Allah. Semoga ‘pengecilan’ kita pada hari ini tidak dipandang ‘kecil’ bahkan diganjari nikmat yang ‘besar’ suatu hari nanti. 

1 comment: