Followers

Friday, May 24, 2013

Hakikat Secicip Bahagia Sang Isteri


“Saat lafaz sakinah itu dilafazkan,tidak ada lagi jurang antara kita. Hatiku dan hatimu kini beradu membentuk simpulan padu yang takkan terlerai hatta jannah menjadi perhentian terakhir cinta sejati kita.” Begitulah dialog yang acapkali dilaungkan dek indahnya pernikahan.



Ya,indahnya sebuah pernikahan bukan kerana syahwat yang terkurung di penjara iman. Bukan juga kerana hadirnya teman berbicara berkongsi rasa dan duka. Dan buka juga dek kesenangan kehidupan yang sistematik pengurusannya. Namun,indahnya sebuah pernikahan kerana padanya pintu BAHAGIA.

Kebahagiaan seorang suami amat mudah didefinisikan. Bak kata seorang ustaz “Lelaki ni perlu dijaga 2 perkara sahaja agar dia bahagia. Yang pertama,perut dan yang kedua,di bawahnya.”Nah,senang bukan? Lelaki kehidupannya simple dan mereka hanya memerlukan perkara-perkara yang simple sahaja. Namun,apalah ertinya kebahagiaan kepada si suami andai si isteri terjerut hatinya kepada penyeksaan jiwa yang tidak pernah orang sedari.


Pada usia awal perkahwinan,si isteri tahu bahawa tugas memasak bukanlah tanggungjawab sepenuhnya di bawah isteri kerana tugas memasak adalah tugas bersama. Namun,si isteri tidak ingin biarkan suaminya memasak kerana dia tidak mahu suaminya makan hasil air tangan orang lain. Cukuplah air tangannya sahaja yang menjadi pengikat kasih antara mereka.


Begitu juga dalam perihal membasuh baju,si isteri tidak sampai hati melihat suaminya kepenatan pulang daripada kerja mengangkut sebakul pakaian untuk disumbat dalam mesin basuh sedangkan si isteri sedang duduk di atas kerusi empuk menonton cerita Hindustan. Sudah pasti si isteri tidak akan senang duduk seperti cacing kepanasan apabila melihat situasi sedemikian. Akhirnya,si isterilah yang melunaskan semua kerja-kerja rumah tersebut sehingga masa meragut usia.


Keadaan semakin kronik selepas dianugerahkan cahaya mata. Dari membancuh susu,menyalin lampin,sehinggalah mendukung pejuang cilik ke sana ke mari itu pun semua di atas bahu si isteri. Tatkala mengulit mimpi di tengah kepekatan malam,si pejuang cilik itu merengek-rengek namun si suami hanya berpura-pura tidur dan berdengkur sahaja menunggu suara lembut si isteri mendodoikannya.


Masa silih berganti,si comel menginjak angka 10 tahun,semua keperluannya,Tupperware makanan,botol air dan poketnya semua diisi oleh si isteri. Susun jadual,susun buku yang perlu dibawa ke kelas,seterika baju,menjahit baju yang terkoyak,menyelesaikan masalah kes-kes disiplin seperti tak siap kerja rumah dan sebagainya semua si isteri yang uruskan.  


Ketika si isteri kehilangan semangat dan motivasi diri,si isteri cuba untuk bermanja agar dapat menarik perhatian suami supaya dapat memulihkan semangat yang hilang,namun si suami hanya buat endah tak endah sahaja. Apabila dilayan sedemikian,si isteri buat-buat merajuk agar manjanya benar-benar dilayan namun,dibalas dengan makian.


 Apabila si isteri mendapat gaji setiap hujung bulan,beliau tidak pernah kisah andai gaji itu digunakan untuk barang keperluan rumah walhal ia sepatutnya ditanggung oleh si suami. Namun,apa yang dibayar kepada si isteri? Dengan selambanya si suami bertanya “Boleh tak abang kawin lagi satu?”


Ketahuilah,bahawa hakikat secicip bahagia seorang isteri adalah ‘Melihat orang yang dia sayang bahagia’. Beliau tidak perlu menjadikan dirinya mendapat title ‘first lady’ ataupun title ‘ibu Mithali’, yang penting beliau inginkan anak-anaknya mendapat title tersebut.  Dan beliau juga mahukan suaminya pulang seusai keletihan bekerja senyum kepadanya serta sentiasa memeluk batang tubuhnya ketika kegelisahan. Namun,jarang sekali ia difahami. Jadi,manakah hakikat kebahagiaan yang kau cari wahai isteri?





2 comments:

  1. amboi romantik nyer
    http://long-cham.blogspot.com/

    ReplyDelete
  2. persoalan terakhir; " manakah hakikat kebahagiaan yang kau cari wahai isteri?" telahpun dijawab dan terjawab dalam ayat pertama perenggan terakhir tu :p

    ReplyDelete