Followers

Tuesday, March 13, 2012

Cerita "Aku" dan "Dia"

Hanya kerana mentari yang terik menyinar menerangi alam,membuatkanku lelah dalam melangkah setapak demi setapak di tangga Blok D asrama Kolej Islam Pahang Sultan Alam Shah selepas tamat kelas akidah. Aku adalah pelajar semester 1 di kolej itu namun semakin lama aku melewati hari-hari di kolej tersebut,aku semakin resah dan gelisah. Memikirkan sama ada tawaran untuk aku melanjutkan pelajaran ke Jordan diterima ataupun tidak. Mungkin riak wajahku langsung tidak menampakkan keresahan tersebut,namun di dalam hati ini sentiasa berdoa agar permohonanku kali ini diperkenankanNya. Apabila aku sampai di hadapan bilik,aku menanggalkan kasutku dan meletakkannya di atas rak dengan penuh cermat. Terus sahajaku melangkah masuk ke dalam bilik dan duduk di tepi tingkap dan merenung nasib diriku yang masih menjadi tanda tanya. Tiba-tiba, renunganku terhenti seketika kerana terdengar ringtone daripada telefon bimbitku sendiri.
            "nombor mana pula yang call aku ni?" hatiku bermonolog tatkala melihat nombor yang terpapar di skrin telefon bimbit Nokia 2690 milikku itu adalah nombor yang tidak dikenali. Demi menjawab persoalan itu,kuangkat jua panggilan tersebut.
           "Helo,boleh saya bercakap dengan encik Mohd Fahmy Bin Mahmur?" tanya orang yang menghubungiku.
           "Ya,saya,siapa ni?" balasku.
          "Baiklah,saya Mohd Farha daripada Jabatan Pengajian Tinggi ingin maklumkan kepada encik fahmy bahawa encik telah berjaya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke Jordan"
            
Aku tergamam seketika. Pelbagai spekulasi mulai terhasil di benakku. Betul ke ni? atau ianya cuma panggilan palsu? ataupun mungkin orang tersebut menghubungi nombor yang salah? atau ianya sekadar mimpi siang yang tak sudah? Aku membisu seribu bahasa. Aku mengetuk kepalaku,adakah kali ini kubermimpi atau realiti. Tapi tak mungkin lah. Sebab dia dah sebut nama penuhku tadi dan nampaknya aku juga sedang tidak bermimpi. Kataku untuk meyakinkan diriku.


        "encik fahmy, encik masih di talian ke?" kata encik farha yang menghubungiku tadi.
        "Ya,saya. Betul ke ni encik? saya macam tak percaya la" tanyaku untuk meyakinkan segala syak wasangka yang masih bersarang di hati.
       "Ya,betul-betul la ni encik fahmy" jawab encik farha yang telah membuatkan hatiku berbunga riang. Inilah antara jawapan yang paling membahagiakan diriku di dunia. Ingin sekali kumelompat kegembiraan,namun dalam keadaan diriku yang masih dalam panggilan membatasinya. Kemudian encik Farha menyambung lagi.
                      
      "Baiklah,sekarang ni encik perlulah membeli tiket kapal terbang ke Jordan sebelum tarikh 30 September. Sekiranya encik gagal berada di Jordan dalam tempoh tersebut,kami menganggap bahawa encik telah menolak tawaran untuk melanjutkan pengajian ke Jordan. Surat tawaran untuk melanjutkan pengajian ke Jordan telah saya poskan ke alamat rumah encik dan akan sampai di rumah encik pada hari esok"
     "InsyaAllah,saya akan cuba usahakan. Apa-apa pun terima kasih banyak-banyak ye encik farha. Baiklah,ada apa-apa lagi tak?" tanyaku untuk mematikan panggilan dengan cepat.
      " Rasanya itu je la. Tahniah ye encik fahmy" kata encik Farha.
      "ok,terima kasih banyak-banyak tau. Assalamualaikum"
      "sama-sama. Waalaikumussalam"
kemudian,kuakhiri perbualan dengan encik Farha dengan meletakkan panggilan tersebut. 

Dengan pantasku menelefon mak dan ayahku dan memberitahu kepada mereka mengenai hal ini. Ternyata merekalah orang yang paling gembira sekali selepas saya. Seusaiku memberitahu mak dan ayahku,aku terus sujud syukur dengan cara mazhab hanafi. Bersujud syukur cara mazhab hanafi dan syafie semestinya berbeza kerana mazhab syafie memerlukan kita untuk mengangkat takbir sebelum sujud dan duduk tahiyat kemudian memberi salam. Berbeza dengan mazhab Hanafi yang memadai hanya dengan sujud sahaja. Aku teramat bersyukur dengan segala kurniaanNya sehinggakan ianya tidak dapat dilafazkan dengan kata-kata.  

       Namun,kegembiraanku tidak terlalu lama. Aku harus memikirkan banyak perkara lagi. Yang pertama,aku harus meninggalkan rakan-rakanku yang berada di KIPSAS. Melalui bumi KIPSAS ini,aku telah meninggalkan banyak kenangan suka duka didalamnya. Aku menjadi ketua bagi sem 1 dalam pengajian bahasa arab komunikasi dan melalui taklifat yang telah diberi oleh kusebelum ini mengajar diriku untuk tabah dalam memimpin. Walaupun hanya memimpin 15 orang,ianya cukup terkesan dihatiku apabila meninggalkan mereka. Sehinggakan pada hari terakhirku berada di bumi KIPSAS,sudah banyak airmata berlinang menangisi pemergianku. Hatiku dan hati mereka terlalu akrab. Betapa indahnya ukhuwwah yang terjalin antara kami semua. Semoga Allah merahmati mereka semua. 


      Yang kedua,aku harus memikirkan krisis ekonomi yang melanda di dalam keluargaku sendiri. Aku diberitahu bahawa aku memerlukan sekurang-kurangnya RM6,000 untuk hidup di Jordan bagi awal semester pengajian termasuk tambang kapal terbang,yuran pengajian,makan minum,dan pakaian untuk menghadapi musim sejuk di sana. Aku tidak punya masa yang banyak untuk mencari wang yang sebegitu banyak dalam masa yang singkat. Aku hanya ada dua minggu sahaja untuk menampung segala kos perbelanjaanku. Aku mulai buntu. Aku melihat masa depanku kian gelap. Sehinggakan pada suatu malam,tatkala kumengadu kepada yang DIA akan segala masalah yang kuhadapi,titis-titis mutiara mulai membasahi pipiku. Semakin lama kumengadu,semakin deras ia mengalir. Aku meminta kepada ayahku agar bantulah aku mencari wang bagi menampung perbelanjaanku. Namun,apabila kumenyatakan hasrat kepadanya,seolah-olah bayang-bayang kesedihan tersirat di sebaliknya wajahnya yang tenang.
       
        Walaubagaimanapun,aku tidak berdiam diri. Aku manfaatkan masa yang ada untuk mencari wang selama 5 hari. Aku meminta tolong kawan kepada abangku agar 'offer'kan aku kerja sementara untuk mencari wang. Aku bekerja di sebuah kedai aiskrim di KLCC. Aku ditawarkan gaji yang agak lumayan iaitu sebanyak RM50 dalam sehari. Namun,ianya masih tidak dapat menampung perbelanjaanku di Jordan kerana aku hanya boleh bekerja dalam masa 5 hari sahaja. Apa yang lebih menyedihkan,hari pertamaku bekerja adalah hari pertama Hari Raya Aidiladha. Aku terpaksa meninggalkan segala keseronokan dalam berhari raya  semata-mata ingin mencari wang. Hari pertama aku bekerja,kedai tersebut mendapat keuntungan yang paling tinggi yang pernah dicatatkan dalam sejarah kedai aiskrim tersebut. Alhamdulillah. Meskipun bos kedai tersebut amat gembira,namun bagi saya,kegembiraan itu hanya dirasai sementara sahaja kerana banyak perkara lagi yang perlu saya fikirkan.


         Selang masa beberapa hari kemudian,sahabat perjuangan aku menelefonku untuk mengetahui perkembanganku dan bertanya mengenai tiket kapal terbang yang harus dibeli dalam masa 2 ari dan tiket itu berharga RM2000. Fikiranku mulai ligat berpusing. Di mana harusku cari RM 2000 dalam masa 2 hari? Dahlah RM6000 nak cari dalam masa 2 minggu pun dah terkial-kial apatah lagi cari wang RM 2000 tu dalam masa 2 hari?  Tiada apa yang mampu kuucapkan melainkan kuadukan semuanya pada DIA. Sepanjang hari kuberwajah murung kurasakan bagaikan sebuah gunung mulai menghempap bahuku. Tidak terdayaku mengangkatnya melainkan dengan pertolongan DIA. Sampai suatu masa,aku tak tertahan menahan bebannya,aku menangis seorangan di dalam bilik. Aku menangis bukan kerana aku lemah,tapi aku menangis kerana aku ingin mencari semula kekuatanku yang telah hilang. Sewaktuku terperuk di dalam bilik berseorangan,tiba-tiba telefon bimbitku mengalunkan irama mesejnya yang tersendiri. Kumelihat mesej tersebut adalah daripada ayahku. Aku menjangkakan bahawa ayahku akan berkata bahawa dia tidak mampu mencari wang untuk tiket kapal terbang tersebut. Namun,apa yang kujangkakan adalah sebaliknya.


       "Salam,bapa da  belikan tiket kamu untuk ke Jordan tu.. Jgn risaula :)"

Demikianlah mesej daripada ayahku. Aku merasakan duniaku semakin cerah semula. Kegembiraan sudah mula terpancar di wajahku. Aku berasa gembira tak terhingga. Sekali lagi kusujud syukur kepadaNya tanda kesyukuran yang tidak terhingga. Namun,aku masih tertanya-tanya dari manakah ayahku dapat wang sebanyak itu? Kucuba bertanya kepada ayah dari mana dia boleh dapat wang sebanyak itu dalam masa yang singkat? Apabila kucuba mengajukan soalan itu kepadanya,dia tidak ingin memberitahuku seolah-olah ada perkara yang cuba disembunyikannya. Dan aku mulai merasa musykil dan aku ajukan soalan itu kepada makcikku. Dan makcikku memberitahu bahawa ayahku berhutang dengan orang lain!! Aku rasa sangat terharu dengan ayahku. Dia sanggup berhutang dengan orang lain demi melihatku berjaya. Aku bertekad,apabila aku sudah berkerjaya nanti,aku akan membalas semua budimu ayah walaupun aku tidak mampu membalas semuanya. 

       Tibalah masa yang kunanti-nantikan. iaitu tarikh keramat yang takkan kulupa sampai bila-bila iaitu 14 September 2011. Tarikh penerbanganku meninggalkan bumi Malaysia yang tercinta ini sebagai seorang pejuang agama. Pada tarikh ini,aku menelefon semua guruku dan memberitahu kepada mereka bahawa anak muridmu akan berjaya suatu hari nanti InsyaAllah. Dan antara panggilan yang membuatkan aku terharu adalah guru bahasa inggeris aku iaitu Sir Syaiful Azwan. Guru yang amatku hormati kerana ketegasannya dan kadangkala boleh menjadi kawan rapat kepada aku. 
          
        "Mi,i'm proud of you. Jaga diri baik-baik di negeri orang ya" itulah antara kalimah yang dilafazkan oleh guruku,Sir Syaiful Azwan.

         Sejam sebelum berlepas,panggilan dan mesej bertalu-talu memenuhi telefon bimbitku. Kesemuanya dari rakan-rakan dan guru-guruku dan tidak lupa juga daripada si dia. Panggilan yang tidak pernah aku lupakan sampai bila-bila ialah panggilan daripada Ustaz Mujiburrahman iaitu ustaz kesayanganku yang menjadi murobbiku,guru bahasa arabku,guru Al-Quranku,dan dia bukan sekadar guru malah dia kuanggap sebagai ayahku sendiri. 

       "Mi,jangan lupa belajar sungguh-sungguh mi. Kalau dah mari jordan tu,ustaz tak nak kau jadi ustaz biasa-biasa dah tapi ustaz nak kamu jadi ulamak. Pasang niat tu betul-betul. Nanti sebelum berlepas,pastikan baca doa pas tu, niat sahaja aku menuntut ilmu kerana Allah Taala dan takbir 3 kali." begitulah kata-kata terakhir beliau sebelumku berlepas dan kata-kata ini masih lagi terngiang-ngiang di benakku meskipun sudah beberapa bulan berlalu. 

        Sewaktu diriku berada di dalam pesawat,tiba-tiba aku terima sebuah mesej yang tidak aku ketahui siapa yang menghantarnya.  Aku menganggap ianya suatu perkara yang biasa apabila nombor yang tidak dikenali menghantar mesej yang terakhir kepadaku. Namun,apa yang terkandung di dalam mesej itu yang luar biasa.

     "Salam,smpi ati awk xgtaw sy yg awk nk p jordan... Apa dosa sy pd awk smpi wat sy mcm ni? Apa2pun,sy tetap akan tggu awk.. huhuhu :("

Sehingga kini aku tertanya-tanya siapakah penghantar mesej ini. Ingin juga aku membalas mesej tersebut untuk mengetahui siapa yang menghantarnya namun pramugari mulai melihat aku dalam keadaan curiga apabila melihatku masih lagi menekan 'keypad' telefon kerana pada waktu itu arahan untuk mematikan telefon bimbit sudah dikeluarkan. Aku harap orang yang menghantar mesej tersebut sentiasa bahagia dan menghentikan penantiannya itu kerana aku punyai matlamat yang lebih besar daripada disibukkan dengan hal-hal sebegini. 

         Kini,cita-citaku sudah tercapai. Namun,aku mempunyai tanggungjawab yang lebih besar selepas kepulanganku nanti. Tanggungjawab yang amat berat untuk dipikul iaitu sebagai seorang daie. Semoga pemergianku ini DIA memberkatinya dan merahmatinya. Terima kasih banyak-banyak. Tidak ada cinta yang lebih hebat yang aku alami melainkan cinta kepada DIA. DIA lah pujaan hatiku dan DIA lah segala-galanya bagiku. Tanpa DIA,tidak mungkin aku berpijak di bumi syuhada ini. DIA lah Allah s.w.t. Tuhan sekalian alam. ^_^




5 comments:

  1. Cubaan yang berat ,,,Alhamdulilah akhi dapat mengatasinya ...May Allah always Bless you...

    ReplyDelete
    Replies
    1. syukran jazilan.. jazakumullah kheir.. ^_^

      Delete
  2. Anonymous14/3/12 00:22

    assalamualaikum..
    menarik, kisah benar ke?

    ReplyDelete
    Replies
    1. waalaikumussalam.. yup ni kisah benar la ni.. lau ikutkan,pnjg lg citernye tp d pendekkan demi mnjaga maruah seseorg n takut org 2 terasa plak... ^_^

      Delete
  3. Allahu...banyak pengalaman di KIPSAS tu..akhi..mudah-mudahan pilihan yang tepat di hati akhi...

    ReplyDelete