Followers

Sunday, June 10, 2012

Wanita yang baik untuk lelaki yang baik??


الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ أُولَٰئِكَ مُبَرَّءُونَ مِمَّا يَقُولُونَ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ
Maksudnya: “Perempuan-perempuan yang keji untuk laki-laki yang keji dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji. Sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik.Mereka itu bersih dari apa yang dituduhkan orang.Mereka memperolehi keampunan dan rezeki yang mulia". [Surah al-Nur, ayat 26]

          Ayat Al-Quran ini selalunya terkenal dalam kalangan remaja khususnya terutamanya yang masih kental dalam pencarian jodoh. Dan ayat Al-Quran ini jugalah yang menjadi hujjah dalam menasihati orang yang meninginkan jodoh yang baik,namun dirinya masih lagi tidak seperti yang diinginkan. Persoalannya sekarang,adakah benar ayat ke 26 surah An-Nur ini memang diturunkan untuk menerangkan bahawa wanita yang baik itu hanyalah untuk lelaki yang baik sahaja dan juga sebaliknya? Adakah Allah dah ciptakan wanita yang baik itu untuk lelaki yang baik sahaja? Ayuh,kita singkap satu persatu persoalan tersebut dan saya akan menerangkan menurut kitab-kitab tafsir yang muktabar.


Tafsir Ibnu Kathir: 
Kata Ibnu Abbas:"Ucapan yang jahat adalah milik orang yang jahat dan begitu juga sebaliknya".Ayat ini diturunkan kepada Aisyah r.anha pada peristiwa ifk (peristiwa dimana Aisyah r.anha difitnah selepas perang bani mustoliq oleh kaum munafiq bahawa beliau pernah melakukan perbuatan yang tidak baik dengan Safwan bin Mu'attol). Dan demikianlah yang diriwayatkan oleh Mujahid,Ato',Said Bin Jabir,Sya'bi,Hassan Al-Basri,Habib Bin Abi Sabit,Ado-dohhak. Dan Ibnu Jarir menyatakan bahawa percakapan yang keji itu adalah untuk orang-orang yang keji dan percakapan yang baik itu adalah untuk orang-orang yang baik. Dan kata Abdul Rahman bin Zaid Bin Aslam: "Wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji dan lelaki yang keji adalah untuk wanita yang keji. Wanita yang baik pula adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik pula adalah untuk wanita yang baik. Dan ia dapat kita lihat Aisyah r.anha yang menjadi isteri Rasulullah kerana beliau adalah yang paling baik dan paling sesuai dengan Rasulullah." Dan firman Allah s.w.t yang bermaksud:"Mereka itu bersih daripada apa yang dituduhkan orang"ditafsirkan bahawa sesungguhnya Aisyah itu terbebas daripada tuduhan orang-orang munafik itu. Dan firman Allah yang bermaksud "Mereka memperolehi keampunan"bermaksud apa yang dituduh oleh orang-orang munafik itu semuanya bohong belaka. Dan Firman Allah yang bermaksud: "dan rezeki yang mulia" pula bermaksud Aisyah R.anha dijanjikan syurga oleh Allah s.w.t kerana isteri-isteri Rasulullah s.a.w mendapat tempat di syurga kelak.

Tafsir At-Tobari:
Ayat tersebut mempunyai khilaf dalam kalangan Ahli ta'wil dan berkata sebahagia daripada mereka adalah: "percakapan yang keji adalah untuk manusia yang keji dan manusia yang keji adalah untuk percakapan yang keji dan percakapan yang baik adalah untuk manusia yang baik dan manusia yang baik adalah untuk percakapan yang baik." Dan berkata Ibnu Abbas: "ucapan yang jahat adalah milik orang yang jahat dan begitu juga sebaliknya" Dan dikatakan juga maksud daripada ayat tersebut ialah "amalan yang keji adalah untuk orang yang keji dan amalan yang baik adalah untuk orang yang baik"Daripada Ibnu Abi Najih mengulas mengenai ayat tersebut: "perkataan yang baik yang keluar daripada mulut orang kafir dan orang mukmin adalah untuk orang mukmin sahaja dan perkataan yang keji yang keluar daripada mulut orang kafir dan orang mukmin adalah untuk orang kafir sahaja." Daripada Mujahid katanya: AL-KHOBITHAT  dan AT-TOYYIBAT adalah bermaksud perkataan yang keji dan perkataan yang baik.Bagi orang mukmin itu segala yang baik dan bagi orang kafir itu adalah segala yang buruk.Dan begitu juga apa jua perkataan yang baik daripada orang kafir itu adalah untuk orang mukmin.Dan perkataan yang keji daripada orang mukmin itu adalah untuk orang yang kafir. Dan apa yang dikatakan mengenai Aisyah pada peristiwa ifk adalah perkataan yang keji dan orang-orang yang baik adalah bebas daripada segala perkataan yang keji. Daripada Qatadah berkata: "Perbuatan dan ucapan yang keji adalah untuk manusia yang keji dan manusia yang keji adalah untuk perbuatan dan ucapan yang keji" Dan berkata sebahagian yang lain bahawa; Perempuan yang keji adalah untuk lelaki yang keji dan lelaki yang keji adalah untuk perempuan yang keji dan perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik." Kesimpulannya,apa yang diaulakan berdasarkan lafaz AL-KHOBITHAT adalah bermaksud perkataan yang keji adalah untuk manusia yang keji  kerana mereka adalah ahli baginya. Dan apa yang dimaksudkan dengan lafaz AT-TOYYIBAT adalah bermaksud perkataan yang baik adalah untuk manusia yang baik kerana mereka adalah ahlinya dan lebih berhak ke atasnya.

Tafsir Al-Qurtubi:
Berkata Ibnu Zaid: Maksud daripada ayat tersebut adalah "Perempuan yang keji adalah untuk lelaki yang keji dan begitu juga sebaliknya,Perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik" Dan Berkata Mujahid,Ibnu Jabir,Ato' dan kebanyakan ahli mufassirin: maksud daripada ayat tersebut ialah "perkataan yang keji adalah untuk manusia yang keji dan manusia yang keji adalah untuk perkataan yang keji dan perkataan yang baik adalah untuk manusia yang baik dan manusia yang baik adalah untuk perkataan yang baik" Dan dikatakan bahawa ayat ini berkait dengan ayat daripada surah An-Nur ayat ke 3 iaitu "Penzina perempuan tidak akan bernikah melainkan dengan seorang penzina lelaki"Dan berkata sebahagian daripada Ahli Tahqiq: "Sesungguhnya Yusuf  a.s ketika berada di dalam kekejian,Allah mengampunkannya dengan bayi yang berkata-kata di dalam buaian,dan Maryam apabila berada di dalam kekejian,Allah mengampunkannya dengan lisan anaknya Isa a.s ,dan Aisyah ketika berada di dalam kekejian,maka Allah mengampunkannya dengan Al-Quran" dan maksud daripada ayat: "Mereka memperolehi keampunan dan rezeki yang mulia" adalah syurga yang kekal abadi.


sekadar gambar hiasan

         Berdasarkan daripada tiga tafsir di atas,dapatlah disimpulkan bahawa ayat Al-Quran Surah An-Nur ayat ke 26 ini daripada tafsiran Ibnu Abbas bahawa  "Ucapan yang keji hanyalah untuk untuk manusia yang keji dan ucapan yang baik adalah untuk manusia yang baik." Asbab Nuzul bagi ayat ini ialah untuk membebaskan Aisyah R.anha daripada tuduhan orang munafiq yang menyatakan bahawa kononnya Aisyah r.anha telah melakukan perbuatan yang tidak senonoh dengan Safwan bin Mu'attol  selepas peperangan bani Mustaliq. 
       
     Bagaimana pula dengan tafsiran ayat bahawa perempuan yang baik untuk lelaki yang baik? Saya katakan bahawa tafsiran itu juga betul sebagaimana yang ditafsirkan oleh Ibnu Zaid namun,pendapat itu tidaklah masyhur dalam kalangan mufassirin dan yang paling masyhur adalah apa yang telah saya sebutkan sebentar tadi. Oleh itu,saya berpesan kepada sahabat-sahabat sekalian,janganlah mudah menafsirkan sesuatu ayat itu berdasarkan mafhum lafaznya sahaja. Namun,perlu juga dilihat dari semua aspek sama ada asbab nuzul,tafsiran mufassirin,ayat makkah dan madaniyyah dan sebagainya. Sekian sahaja dari saya. Renung-renungkan dan selamat beramal!! ^_^

No comments:

Post a Comment