Followers

Sunday, November 4, 2012

Kaitan Antara Teori Sir Isaac Newton Dan Da'ie


             Sir Isaac Newton merupakan seorang saintis yang termasyhur kerana kebijaksanaan dan kepintaran beliau dalam bidang fizik. Beliau banyak mengemukakan pelbagai teori yang luarbiasa sehingga koleksi-koleksi teorinya telah digunakan sehingga kini. Antara teori hebat yang pernah disebut oleh beliau ialah "Hukum Gerakan Newton Pertama". Hukum Gerakan Newton adalah "sesuatu objek akan kekal dalam keadaan asalnya,sama ada bergerak dalam satu garis lurus ataupun pegun, hidup segan mati tak mahu,selagi TIADA DAYA LUAR bertindak ke atasnya"
                                                                                                             
Sir Isaac Newton
Maksudnya,kehidupan ini akan kekal dalam keadaannya sekarang,andai tiada daya luar atau momentum yang dikenakan ke atasnya. Basikal akan terus bergerak,selagi tiada daya dalam bentuk geseran yang terhasil daripada brek tidak menghentikan pergerakannya.Sebiji bola akan kekal dalam keadaan pegun,selagi Christiano Ronaldo,atau Lionel Messi,atau Safee Sali ataupun Mamat berusia 6 tahun tidak menghadiahkan daya berbentuk sepakan ke atasnya.Yang hitam akan terus hitam dan yang putih akan terus putih,hidup akan terus hambar,tanpa adanya daya atau momentum yang diketengahkan ke atas kanvas bernama kehidupan.

      Para saintis seluruh dunia sangat kagum dengan teori yang dikemukakan oleh Newton kerana mereka menganggap bahawa teori ini adalah 'masterpiece' yang tidak ternilai harganya. Namun,mereka tidak sedar bahawa teori ini sudah pun dijelaskan oleh Allah s.w.t dalam kalam teragungnya sejak beribu tahun yang lalu.
إِنَّ اللَّـهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ
Maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah nasib mereka sendiri."(Surah Ar-ra'd:11)

      Ertinya,sesebuah umat itu akan kekal berada di dalam kemunduran selagi mana tidak ada 'daya luar' ataupun momentum perubahan kepada kemunduran itu. Apa yang nak di'highlightkan' di sini ialah "MOMENTUM PERUBAHAN". Banyak atau sedikit momentum itu bukan persoalannya,tapi ada ataupun tiada itulah yang menjadi tanda tanya. Yang menentukan harga sesebuah momentum itu bukan kita tetapi Allah s.w.t yang maha Esa. Kita hanya mewujudkan momentum itu dalam diri kita berasaskan niat yang suci dan berlandaskan kaifiat yang murni.

Usahlah mendamba untuk menjadi umat yang terbaik,andai usaha-usaha pentarbiyahan  dan penyedaran umat tidak dilakukan secara intensif. Usahla berharap tertubuhnya khilafah islamiyyah,andai maksiat terus berleluasa dan kita pula melopong ternganga tidak menghadiahkan sebarang momentum perubahan seolah-seolah mengangguk menyetujui perbuatan keji tersebut. 


Perubahan Dan Pengorbanan

          Setiap momentum perubahan yang diperuntukkan itu pastinya kita akan terpaksa mengalami suatu kehilangan. Dan kehilangan disebabkan momentum perubahan itulah dinamakan "pengorbanan". Pengorbanan,kata dasarnya adalah 'KORBAN'. Dan korban itu berasal daripada perkataan bahasa arab di mana kata dasarnya di dalam bahasa Arab adalah قَرَبَ yang bermaksud dekat. Setiap pengorbanan yang dilakukan itu seharusnya mendekatkan diri kepada maha pencipta. Andainya pengorbanan itu penyebab jurang tercipta dengan pencipta,maka wujudlah paradoks di situ dan ini bukanlah dinamakan pengorbanan tetapi itulah namanya 'kebodohan'. Andai material ditumpahkan melimpah ruah kerana sang pencipta namanya pengorbanan,jikalau dilimpahkan pada kekasih gelapnya maka terciptalah kebodohan. Pengorbanan dan kebodohan sungguh jauh bezanya!

           Pengorbanan itu adalah kemuncak kepada manifestasi cinta sejati. Pengorbanan itu mahal harganya. Maka itulah Allah mengurniakan syurga buat manusia yang sanggup berkorban keranaNya. Jikalau tiada pengorbanan untuk si Dia,maka tentulah tiada cinta buatNya. Dalam berkorban,pastinya Allah hadirkan pelbagai ujian. Semakin banyak ujian,semakin banyaklah yang terkorban,semakin mengentallah keimanan dan kecintaan. Adakah kamu lupa,kalam Allah dalam surah Al-Ankabut ayat kedua:
أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ٢
Maksudnya: Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman,sedang mereka tidak diuji(dengan cubaan)?

Adakah wajar kamu katakan bahawa kamu cintakan Allah,andai secebis ujian yang diberikan itu membuatkan kamu mengeluh lalu terjatuh dan katakan 'aduh!' ditambah dengan momentum untuk bangun yang terlalu rapuh? Bukanlah namanya kehidupan,andai air mata tidak pernah membasahi diikuti kesenduan.

           Sedarlah wahai saudaraku,apakah kau berkira,bermimpi dan berangan itulah momentum perubahan? Apakah kau rasa bermalas-malasan dalam berdiri di tengah malam itu jua momentum perubahan? Agama ini bukanlah angan-angan tetapi ianya realistik dalam perbuatan. Marilah berikan masa kita untuk islam,sepertimana kita berikan dalam melaksanakan tuntutan kehidupan agar masa-masa yang kita berikan itu menjadi momentum yang meniupkan angin perubahan kepada tertegaknya kebenaran dan episod-episod hitam dalam kalangan umat islam disudahi dengan kesudahan yang indah. Ingin saya petik kata-kata Hassan Al-Hudaybi iaitu Mursyidul-Am Ikhwanul Muslimin yang kedua:
"Tegakkanlah islam didalam dirimu,nescaya ia akan tertegak di tanah airmu"

          Jangan pernah bermimpi untuk dapatkan khilfah islamiyyah jika ianya tidak dimulai dengan momentum perubahan yang terhasil dalam diri sendiri. Dan Newton pastinya tersenyum riang,kerana kita memahami teori yang dikemukakan. 






1 comment: