Followers

Sunday, January 20, 2013

Tidakku Pinta Ianya Jatuh Berguguran

           Tangisan adalah air mata yang terbit daripada mata seseorang manusia atas sebab-sebab tertentu. Tangisan selalunya disinonimkan dengan kesakitan,kebodohan,rayu-rayuan,dan segala perkara yang berbentuk kelemahan. Namun,ketahuilah bahawa tangisan itu tidak selamanya lemah dan tidak selamanya bodoh. Adakalanya ia menjadi lambang "Kejujuran" dan "Kekuatan" andai ianya mengalir pada waktu,tempat,dan orang yang sesuai. Walaubagaimanapun,sifat tangisan lelaki dan wanita sangat-sangat berbeza. Wanita mempunyai kelembutan yang tinggi berbanding dengan seorang lelaki,maka sudah tentulah wanita lebih banyak menangis daripada lelaki. Dikatakan,purata lelaki menangis adalah 7 kali setahun,manakala purata wanita menangis pula adalah 47 kali setahun! Dan rata-rata manusia yang dah baligh hanya menangis selama 6 minit sahaja. Namun,disebalik tangisan itu,pastinya mereka ada sebab-sebab yang tersendiri. Sudah tentulah sebab utama mereka menangis adalah sedih yang teramat,tekanan yang sangat membebankan,ataupun hatinya dilukai. Dalam menghadapi kepahitan itu,terdapat beberapa PERKATAAN YANG DILARANG UNTUK DIUNGKAPKAN(bold,italic and underlined) ketika teman atau sahabat anda sedang menangis terutamanya wanita. Antaranya:

1) "Lupakan saja apa yang telah berlaku,Barang lepas janganlah dikenang"

Ini adalah ungkapan yang paling kejam bagi seorang wanita khususnya. Setiap perkara suka dan duka yang pernah dialami itu sudah semestinya amat sukar dilupakan. Bagaimana anda boleh menyuruh dia suruh lupakan perkara yang sangat sukar dilakukan? Ungkapan ini seolah-olah 'memaksa' dan menekan jiwa orang lain. Dan anda pun tahu kan,bahawa manusia ini sangat-sangat tidak suka dipaksa. 

2) "Ala,masalah tu taklah teruk mana pun"

Seseorang itu menangis sudah tentulah disebabkan masalah yang teramat teruk sangat. Cuma kadangkala kita sahaja yang menganggapnya remeh dan kadangkala kita lihat masalah itu remeh tapi kita tak pernah faham apa yang sudah berlaku. Dalam perkara ini,anda harus tahu,walaupun ianya masalah yang kecil tapi ianya sangat PENTING buatnya!

3) "Saya faham perasaan awak"

Faktanya,anda takkan pernah mengerti perasaannya. Mungkin ungkapan ini menunjukkan simpati kepadanya,tapi simpati itu kadangkala terasa palsu lebih-lebih lagi jika yang mengungkapnya adalah orang yang menyakiti hatinya sendiri. 

4) "Awak period ke hari ni?" (khusus untuk wanita)

Ungkapan ini merupakan ungkapan yang paling bengap dan sangat-sangat tidak berguna kerana orang yang menangis itu akan rasa bahawa tangisannya itu sangat-sangat tidak bermakna. Ya,mungkin benar dia menangis itu kerana dia sedang datang bulan,tapi itu tidak bermakna dia boleh menerima ungkapan itu sebaiknya. Kalau menangis kerana mengalami senggugut ataupun penyakit-penyakit tertentu itu terkecuali dalam kes ini. 

5) "Sudahlah,jangan menangis lagi"

Melarang seseorang supaya berhenti menangis bukanlah suatu idea yang baik. Kalau kita lihat budak-budak apabila menangis,semestinya menghasilkan keriuhan. Apabila kita tinggikan suara kepada budak tersebut "Diam,jangan nangis lagi",budak tersebut pasti akan menangis lebih kuat lagi. Sama juga halnya seperti manusia dewasa,apabila kamu katakan "sudahlah,jangan menangis lagi",perkara yang difahami oleh si penangis ialah "jangan ganggu aku lagi dengan tangisanmu itu" dan sudah pastinya,ia menambahkan lagi air mata yang mengalir. 

6) "Sepatutnya awak janganlah buat macam tu,kan dah menyesal"


Ketahuilah bahawa ungkapan ini bukan sahaja menambahkan kesedihannya,malah boleh menjadikan anda sebagai musuh utama baginya. Apabila seseorang sedang bersedih,tidak seharusnya untuk menyalahkan si penangis itu dengan perkara yang telah berlaku. Walaupun kesalahan itu berlaku itu atas kesalahan si penangis sendiri,jangan diungkit secara terburu-buru. Bila semua dah mulai reda,barulah boleh berbincang apa yang sepatutnya.


Air mata itu rasanya masin kerana segala kemasinan dalam diri  itu hilang bersama air mata


       
     Mungkin kita pernah buat perkara-perkara yang sudah saya gariskan di atas kerana tidak ramai yang tahu,seni memujuk orang yang menangis ini. Biasanya seni ini kita akan perolehinya melalui pengalaman. Dan biasanya orang yang cukup peka dengan pengalaman sahaja yang mengambilnya sebagai pengajaran. Seharusnya,apabila seseorang itu sedang menangis kerana sesuatu masalah,langkah yang perlu dilakukan adalah:
1) Biarkan dia menangis

cara ini sangat sesuai buat seorang lelaki kerana selalunya lelaki akan menangis bersendirian. Biasanya dia tak nak orang lain tahu yang dia sedang menangis kerana sifat egonya itu masih tinggi lagi. Bila dia minta untuk jadi teman berbual untuknya,maka sahutlah permintaannya itu. Itu bermakna dia sudah pun bersedia untuk meluahkan masalahnya kepada seseorang. Menangis bagi lelaki juga merupakan 'dialog senyap' yang bermaksud "Berikan aku ruang dan peluang untuk berfikir".

2) Menepuk-nepuk bahunya dan berdiam sahaja

Kesalahan yang kerapkali dilakukan ketika melakukan teknik ini adalah ketika menepuk-nepuk bahunya itu dia selang selikan dengan ungkapan-ungkapan terlarang yang telah digariskan di atas. Menepuk-nepuk bahu merupakan salah satu tanda simpati kita kepada si penangis. 

3) Rangkul kepalanya dan letakkannya di bahu anda

Ramai yang tak tahu bahawa BAHU merupakan anggota yang paling kuat untuk menghapuskan tangisan. Apabila kita meletakkan kepalanya di bahu kita,ia seolah-olah memberi isyarat kepada dia bahawa 'Menangislah semampumu,aku akan sentiasa bersamamu tidak kira susah mahupun senang'. Dan teknik ini memberi petunjuk bahawa anda sentiasa sayangkannya dan anda sanggup bersama dengannya walau jutaan masalah menimpa dan menerima dirinya seadanya. Teknik ini adalah teknik yang paling terbaik untuk dilakukan. Dan sudah semestinya,ikatan kasih sayang anda dan dia pasti akan bertambah.


       Ketahuilah,tangisan itu merupakan bahasa tubuh yang sangat baik kerana ia juga mampu mengatasi penyakit-penyakit kronik disebabkan hypertensi ataupun tekanan yang sangat kuat. Namun,ada masanya kita perlu menangis dan ada masanya kita perlu tersenyum untuk hilangkan hirisan luka di dada. Manusia biasanya tidak suka tengok kita menangis kerana mereka sangat 'bencikan tangisan'! Oleh itu,janganlah tadahkan wajah mendung kita pada manusia kerana mereka takkan pernah faham. Sebaliknya,tadahkan sahaja wajah suram dan pahit itu kepada Allah,kerana dia sahaja yang mengetahui mana hirisan luka itu terbentuk dan bagaimana untuk menampalnya semula. 

Saat lidah kelu berbahasa,biarkanlah air mata mengatur bicara..

1 comment: